Bekalan air disalurkan secara berperingkat di Miri hari ini

Pada masa ini saluran paip sedang menjalani ujian kebocoran sebelum digunakan oleh orang ramai. Gambar kredit LAKU

MIRI—LAKU Management Sdn Bhd memberi jaminan akan menyalurkan bekalan air ke sistem rangkaian saluran paip di sekitar kawasan Miri secara berperingkat, hari ini.


Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Eksekutif LAKU, ujian kebocoran telah selesai pada jam 12.35 tengah hari.


Katanya, pasukan operasi bersedia untuk menyalurkan bekalan air ke sistem rangkaian saluran paip tersebut untuk disalurkan kepada pengguna.


"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan LAKU, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri, semua agensi dan organisasi sektor swasta, dan individu yang terlibat dalam membantu krisis air di Miri," katanya dalam kenyataan Facebook hari ini.


Terdahulu, LAKU dalam kenyataan media memaklumkan kerja-kerja pembaikan saluran paip air berdiameter 1,100 mm yang rosak di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu baru-baru ini telah siap pada jam 3 pagi tadi.


Bagaimanapun kenyataan itu memberitahu, pada masa ini saluran paip sedang menjalani ujian kebocoran sebelum digunakan oleh orang ramai.


Sementara itu LAKU akan terus memantau sehingga keseluruhan sistem rangkaian saluran paip beroperasi sepenuhnya.


"LAKU akan memastikan orang ramai dikemas kini dan akan terus membekalkan air kepada orang ramai di tempat pengumpulan.


"Antara kawasan itu ialah Loji Rawatan Air Lambir dan bypass Miri Sentral (Berdekatan Pasaraya SL/berhampiran Hospital Miri) (22 pili air tersedia melalui pandu lalu).


"Kawasan seterusnya adalah di Pusat Komersial Lapangan Terbang (Bertentangan  Lapangan Terbang Miri, di hadapan Lot 1M CafĂ©) serta Kediaman Milea, Eastwood Industries (berhampiran Dapur Nasi Kukus Pae’ya)," kata kenyataan itu.


Kesemua kawasan pengumpulan bekalan air itu akan dijalankan secara 24 jam.


Dalam pada itu, terdapat tujuh tempat pengumpulan bekalan air disediakan Tankers melibatkan empat kawasan di sekitar Miri.


Di kawasan Permyjaya Commercial Centre (Desa Pujut 1) akan ada dua tempat iaitu berdepan Permyjaya Mall (Giant) dan Ah Hong Tudan jam 8.00 pagi hingga 7 malam manakala tempat kedua jam 8 malam hingga 8 pagi keesokan hari.


Kawasan kedua iaitu Permyjaya (Desa Pujut 2) akan dijalankan di Desa Murni, Shoplots before McDonald’s selama 24 jam manakala di kawasan Senadin/Lutong akan diadakan berdekatan Jumbo Seafood Restaurant (8 pagi hingga 7 malam) dan New World Mart Car Park (8 malam hingga 8 pagi).


Kawasan keempat pula akan dijalankan di Piasau/Krokop bertempat di Taman Bulatan (8 pagi hingga 7 malam), Indoor Stadium Compound (8 malam hingga 8 pagi) dan Masjid Darul Ehsan, Piasau (24 jam).

Next Post Previous Post