Bantu pekebun kecil berdepan kenaikan harga baja
Gambar hiasan kredit Ketengah |
TAWAU— Koperasi Penanam Sawit Mapan (KPSM) boleh memainkan peranan membantu pekebun kecil kelapa sawit berdepan kenaikan harga input pertanian seperti baja, kata Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Beliau berkata antara yang boleh dilakukan KPSM ialah mengadakan perbincangan dengan pembekal untuk membeli baja secara pukal bagi membantu pekebun kecil mengurangkan kos perbelanjaan operasi.
"Kami tahu isu ini bukan mudah diatasi dalam masa terdekat, masalah ini bukan sahaja baja untuk kelapa sawit, racun tetapi isu untuk semua pertanian.
"Kenaikan harga baja ini berlaku ekoran isu-isu polisi negara luar dan apatah lagi kita bergantung kepada bahan mentah yang diimport untuk buat baja ini, perkara ini bukan sahaja dialami Malaysia tetapi dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat timbang KPSM Tawau di sini hari ini.
Setakat Mei tahun ini, terdapat 69 KPSM ditubuhkan termasuk 27 di Sabah, selain itu sebanyak 61 KPSM melaksanakan jualan kelompok Buah Tandan Segar (BTS) terus ke kilang iaitu 314,834.15 tan.
Dalam pada itu, Wee berkata kementerian juga menggalakkan agar pengusaha ladang sawit menggunakan baja sisa organik secara optimum bagi menggantikan baja kimia.
"Ini antara usaha langkah pilihan berikutan kenaikan harga baja, termasuk digalakkan penghasilan projek baja organik," katanya.
Sementara itu, beliau berkata penerokaan pasaran eksport baharu untuk semua komoditi membolehkan pendapatan negara dan rakyat ditingkatkan.
"Misalnya pasaran baharu di Turki, Arab Saudi atau benua Afrika, pasaran ini luas...banyak, tetapi yang penting penerokaan itu membantu menstabilkan harga komoditi," katanya.
-- BERNAMA