Bagus juak ada orang nak viralkan saya guna istilah sik berasa, Abang Jo

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING— Dua frasa bahasa Melayu Sarawak menjadi cukup popular di media sosial di Bumi Kenyalang ini sejak kira-kira sebulan lepas, selepas ia diungkapkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada beberapa majlis yang dihadirinya.


Yang pertama frasa ‘sik berasa’, yang secara kasarnya bermaksud "tidak terasa’, manakala keduanya ialah ‘ketek ajak’, yang bermaksud ‘klik sahaja’.


Abang Johari telah menggunakan frasa-frasa ini semasa bercakap mengenai bagaimana masa berlalu begitu pantas.


Kata-kata “..baruk ari marek ari Jemat, ari tok dah Jemat agik dah ... sik berasa” yang membawa maksud “Rasanya seperti baru semalam hari Jumaat, hari ini sudah tiba Jumaat sekali lagi.. tidak terasa,” telah diungkapkan beliau dalam satu majlis sebelum ini, dan sejak itu frasa ‘sik berasa’ menjadi tular di media sosial.


Abang Johari terus menggunakan frasa ‘sik berasa’ semasa menyampaikan ucapan di majlis-majlis seterusnya, dan ini membawa kepada pemimpin-pemimpin lain turut terikut-ikut menuturkan frasa itu, selain ia menjadi jenaka popular, serta beberapa 'simbol’ mengenainya dicipta di Whatsapp, dan sebagainya.


Apabila jenuh dijadikan jenaka, Abang Johari menerima perkembangan itu dengan baik.


“Ada orang nak viralkan saya makei sik berasa, pakailah sik berasa. Bagus juak (Ada orang nak viralkan saya menggunakan istilah sik berasa, gunalah sik berasa, bagus juga),”  katanya dalam satu majlis baru-baru ini.


‘Sik berasa’ dan ‘ketek ajak’ menjadi satu bentuk fenomena politik di Sarawak ketika ini, kata pakar komunikasi politik Dr Jeniri Amir, yang melihat bahawa ini mungkin datang dari hari seorang pemimpin yang tidak pernah mengenal erti rehat dalam perkhidmatan kepada rakyat.


Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata sejak kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri Disember lepas, Abang Johari terus bekerja keras menjelajah ke seluruh Sarawak bagi memastikan janji pilihan raya ditunaikan.


“Beliau memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai aspirasi dan dasar-dasar kerajaan secara ringkas dan jelas, menggunakan bahasa mudah yang sering dituturkan ramai, bahasa Melayu Sarawak, dan inilah yang melahirkan frasa ‘sik berasa’ dan ‘ketek ajak’,” katanya kepada Bernama.


Jeniri berkata penggunaan bahasa yang dituturkan kebanyakan penduduk di sini menambah kemesraan penduduk tempatan dengan Abang Johari, sekali gus meningkatkan imej dan reputasi beliau, kerana pendekatan ini bukan sahaja menyerlahkan reaksi orang ramai terhadapnya sebagai pemimpin, tetapi juga memudahkan kefahaman orang ramai terhadap kenyataan inisiatif serta kenyataan beliau.


“’Ketek ajak turut membawa mesej mengenaj hasratnya untuk memacu pembangunan Sarawak menerusi ekonomi digital yang jenuh dipromosinya sejak menerajui Sarawak,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post