Aplikasi telefon pintar antara cadangan pantau pembelian minyak masak subsidi, Nanta

Nanta ketika melawat kilang pembungkusan minyak masak di sini hari ini.  Gambar FB Nanta Linggi

KUCHING— Penggunaan aplikasi telefon pintar untuk merekodkan pembelian barang kawalan, merupakan antara kaedah yang dicadangkan untuk mengawal ketat agihan barangan bersubsidi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Beliau berkata kerajaan masih meneliti kaedah terbaik dan beberapa syor telah disuarakan, sebagai langkah mengekang ketirisan berkaitan pembelian barangan itu secara borong, termasuk minyak masak kampit satu kilogram (kg) di pasaran.


“Kita tetapkan dua paket (minyak masak kampit) untuk seorang, tapi ada antara pengguna selepas buat pembelian, mereka pergi ke kedai lain dan beli lagi. Kita sedar itu berlaku.


“Mungkin boleh pakai aplikasi nanti jadi kalau pengguna nak beli lagi di kedai lain, aplikasi itu tidak akan benarkan. Ini bukan untuk minyak masak sahaja, tapi barangan subsidi yang lain,” katanya selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak di sini hari ini.


Nanta turut memberi amaran kepada pemain industri untuk tidak terbabit dalam aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi dan beliau tidak teragak-agak untuk menggantung permit syarikat sekiranya didapati bersalah.


Turut hadir dalam lawatan itu Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Peter J.Berinus Agang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.


Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Nanta berkata peranan KPDNHEP dalam penentuan harga siling ayam di pasaran, tertumpu kepada penguatkuasaan untuk memastikan peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan.


Katanya sesi libat urus bersama penggiat industri ternakan ayam serta pegawai kanan kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), diadakan pagi tadi bagi membincangkan isu berkenaan.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.


Dalam pada itu, dalam kenyataan media hari ini, Nanta memaklumkan tiada sebarang aduan dan kesalahan mengenai kegiatan sorok barang kawalan dicatatkan di Sarawak, sepanjang pelaksanaan Kempen Anti Sorok 2022 dari Januari hingga 18 Jun lepas.


Beliau turut memberitahu bekalan minyak masak kampit di negeri itu mencukupi setakat ini dan kekurangan di beberapa premis adalah bersifat sementara.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post