Anggota polis parah dilanggar motosikal ketika bertugas
Lokasi kejadian seorang anggota polis dilanggar sebuah motosikal ketika menjalankan tugas untuk memeriksa sebuah kereta di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub awal pagi Ahad. |
KUCHING-- Seorang anggota polis cedera parah selepas dilanggar sebuah motosikal ketika menjalankan tugas untuk memeriksa sebuah kereta di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub awal pagi Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu, anggota polis terbabit dari cawangan Unit Kereta Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang bertugas ketika hendak membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta.
"Semasa memeriksa kereta tersebut, anggota terbabit telah dilanggar dari arah belakang sebelah kiri oleh sebuah motosikal nombor pendaftaran dan jenis tidak pasti yang dinaiki dua lelaki di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub menghala ke arah bulatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat kejadian itu anggota tersebut telah terjatuh.
"Motosikal yang terlibat tidak berhenti dan terus bergerak laju ke arah bulatan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Kuching.
"Anggota polis yang cedera telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak oleh rakan setugas," tambahnya.
Kata Merbin lagi, pemeriksaan doktor menyatakan anggota terbabit mengalami kecederaan patah tulang pergelangan tangan kiri dan sehingga kini masih dirawat di hospital.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Sekyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan.
"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab polis IPD Kuching menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat dan pengetahuan berkenaan kejadian kemalangan ini diminta supaya menghubungi Inspektor Mohamad Fahmi Mohd Dzahir di talian 019-3209822 bagi membantu siasatan," ujarnya.