Ajal selepas hantar cucu ke sekolah

Keadaan kenderaan MPV yang melanggar dua pejalan kaki di Jalan Sultan Tengah berhampiran Kampung Sungai Berdaun pagi tadi.

KUCHING-- Seorang warga emas wanita disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) setelah empat jam bertarung nyawa akibat cedera parah setelah dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa melintas jalan selepas menghantar cucunya ke stesen bas untuk ke sekolah di Jalan Sultan Tengah berhampiran Kampung Sungai Berdaun pagi tadi.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Zohara Ender, 60, beralamat di Kampung Semariang Batu.


Sementara itu, katanya seorang lagi pejalan kaki wanita yang merupakan anak mangsa, 37 tahun, berasal dari Kampung Semariang Batu patah pinggang dan masih dirawat di HUS.


"Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.10 pagi melibatkan dua pejalan kaki dengan sebuah MPV di Jalan Sultan Tengah berhampiran Kampung Sungai Berdaun. 


"Semasa MPV yang dipandu seorang guru lelaki berusia 54 tahun bersama dua orang penumpang bergerak lurus dari arah Rampangi menuju ke arah Santubong telah melanggar dua wanita yang merupakan pejalan kaki dikatakan sedang melintas jalan dari sebelah kanan ke sebelah kiri laluan MPV tersebut setelah menghantar cucu bersama anaknya untuk menaiki bas sekolah di seberang jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelas Bingkok, salah seorang pejalan kaki telah disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 10.42 pagi hari yang sama manakala seorang lagi pejalan kaki masih dirawat dan dalam keadaan stabil. 


Berikutan itu, katanya, anak mangsa telah membuat laporan polis mengenai kematian ibunya. 


Sementara itu, beliau memberitahu pemandu MPV serta dua orang penumpangnya tidak mengalami kecederaan. 


"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa bersama anaknya sedang melintas jalan dari sebelah kanan jalan dan masuk ke laluan MPV terbabit menyebabkan kenderaan tersebut melanggar kedua-dua pejalan kaki.


"Kerosakan pada MVP itu adalah pada bahagian depan sebelah kanan dan siasatan lanjut masih diteruskan," jelasnya.


Tambahnya, pemandu MPV terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut dan diambil keterangan.


"Selain itu, pemandu terbabit juga akan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk mengambil sampel darah bagi tentukan kandungan alkohol dan dadah dalam darah. 


"Sampel darah akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak pada esok hari," ujarnya.


Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post