Abang Johari umum penubuhan Agensi Pembangunan Betong dan Delta Rajang
Abang Johari semasa sidang media selepas penggulungan mesyuarat Pehimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini. |
KUCHING—Dua agensi pembangunan baharu iaitu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RDDA) dan Agensi Pembangunan Betong akan diwujudkan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi mempercepatkan pembangunan di luar bandar berdasarkan permintaan rakyat melalui kejayaan penubuhan agensi lain sebelum ini.
"Penubuhan RDDA adalah penjanaan semula Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) dan akan meliputi kawasan dari Daro, Pulau Bruit dan Jemoreng sehingga ke Mukah," katanya.
Beliau ketika berucap pada penggulungan mesyuarat Pehimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Presiden PBB itu menambah, agensi pembangunan baharu itu nanti akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Len Talif Salleh.
Abang Johari berkata, selepas RDDA, agensi serupa juga akan ditubuhkan di Betong.
"Kita tubuhkan (agensi) ini juga di Betong, saya minta Douglas Uggah (Datuk Amar Douglas Uggah Embas) menetapkan sempadannya termasuk di Kabong, Kalaka, Meludam.
"Ini adalah tambahan kepada enam agensi pembangunan sedia ada iaitu Agensi Pembangunan Upper Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCDA)," katanya.
Sementara itu kata beliau lagi, dengan menyerahkan pembangunan Sarawak kepada agensi pembangunan, secara langsung pembangunan keseluruhan akan dapat disegerakan.
“Anda lihat di Semenanjung Malaysia, mereka ada negeri mereka seperti Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Terenggau, Pahang, Kedah dan sebagainya. Di Sarawak, kita hanya ada Sarawak.
“Saya akan memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion kepada kedua-dua agensi bagi menjalankan pembangunan di kawasan itu," katanya.
Abang Johari turut bersetuju memperuntukkan RM30 juta dana tambahan bagi membantu pelajar membayar balik pinjaman pendidikan mereka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, peruntukan itu adalah tambahan kepada RM30 juta yang diperuntukkan sebelum ini.