Abang Johari terus dapat sokongan akar umbi, kekal jadi Presiden PBB

Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang media di ibu pejabat PBB hari ini.

KUCHING—Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan dikekalkan sebagai presiden parti.


Katanya, semua 82 cawangan telah mencalonkan Premier Sarawak itu untuk terus menerajui PBB dalam pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tersebut.


“Keputusan tersebut menunjukkan sokongan penuh daripada semua cawangan PBB selain menunjukkan parti telah berjaya merapatkan perpaduan  dalam meneruskan pejuangan untuk masa yang akan datang.


“Ini juga adalah bukti bagaimana akar umbi mempunyai keyakinan penuh kepada Premier Sarawak (Abang Johari) untuk meneruskan kepimpinan PBB dan Sarawak ke arah kemakmuran kegemilangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.


Antara MKT yang turut mempertahankan jawatan dengan menang tanpa bertanding ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Presiden PBB.


Bagi jawatan Naib Presiden Kanan ia disandang oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom dilantik menggantikan Datuk Amar Michael Manyin Jawong.


Jawatan Naib Presiden disandang oleh Datuk Gerald Rentap Jabu; Datuk Julaihi Narawi; Dr. Annuar Rapaee; Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Datuk Roland Sagah Wee Inn; Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Datuk Gerawat Gala; Datuk Seri Fatimah Abdullah (Ketua Wanita); dan Miro Simuh (Ketua Pemuda).


Sementara itu, Uggah merangkap Timbalan Premier mendedahkan lebih 2,400 perwakilan parti daripada 82 cawangan PBB dijangka hadir pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) PBB bermula 17 hingga 19 Jun ini.


Daripada 2,420 perwakilan itu katanya, seramai 1,825 daripadanya adalah daripada badan induk, manakala 297 mewakili Sayap Pemuda dan 298 Sayap Wanita.


“Perwakilan parti akan membincangkan isu-isu yang memberi tumpuan untuk membawa pembangunan selanjutnya di Sarawak semasa perhimpunan yang akan datang.


“Sementara itu, dalam TGM nanti kita juga akan menyentuh kepentingan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang bertujuan memastikan Sarawak ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi,” katanya.

Next Post Previous Post