Abang Johari mahu Sematan jadi ‘Dubai Sarawak’

Abang Johari bersama-sama dengan dif-dif kenamaan lain mencuba untuk berjalan melalui pontoon di Sematan. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak 

KUCHING—Dua hotel bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di Sematan, sebuah pekan terletak kira-kira 107km ke arah barat bandar raya ini menerusi pelaburan swasta berjumlah RM120 juta, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Tanpa menyatakan secara spesifik syarikat swasta yang terlibat, beliau berkata pelaburan ini adalah sejajar dengan Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menggunakan dana swasta dalam pembangunan Sarawak.


Abang Johari ketika berucap di Majlis Perasmian Pontoon dan Landskap Tebingan Sungai Sematan. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak 


“Mereka (pelabur pembangunan hotel itu) telah menunjukkan kepada saya reka bentuk hotel yang hendak dibina itu yang saya lihat menyerupai Palm Hotel di Dubai (Emiriah Arab Bersatu). Sematan akan menjadi seperti Dubai kelak,” katanya.


Abang Johari melihat ikan yang berjaya didaratkan oleh peserta semasa pertandingan Joran Tanjung Datu 'Tok Nan Open Sea Fishing Competition 2022'. Gambar Sarawakku


Berucap pada Majlis Perasmian Pontoon dan Landskap Tebingan Sungai Sematan di pekan itu hari ini, beliau berkata pembinaan hotel itu akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun ini bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung luar negara ke situ.


Menurutnya kemudahan penginapan ini akan melengkapkan usaha kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur utama seperti penaiktarafan jalan raya, bekalan elektrik dan air ke Sematan yang terletak di Lundu, daerah paling hujung sebelah barat daya negeri ini.


--  BERNAMA

Next Post Previous Post