9 tiang keluli lampu jalan di Isthmus Kuching 'ghaib'

Gambar kredit Sarawak Energy

KUCHING—Terdesak susulan peningkatan kos sara hidup mendorong individu tidak bertanggungjawab memotong dan mencuri keseluruhan tiang keluli lampu jalan.


Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy Choo Min Chong berkata, malah disebabkan harga keluli yang melonjak naik turut mendorong berlakunya kes curi tiang lampu di Bandaraya Kuching, baru-baru ini.


Katanya, tahun ini Sarawak Energy merekodkan lebih 800 kes vandalisme lampu jalan di Kuching meskipun usaha untuk membanteras kegiatan itu giat dilaksanakan.


"Sarawak Energy percaya individu ini terdorong untuk berbuat demikian kerana harga keluli yang melonjak naik," katanya dalam kenyataan, semalam.


Menurut Choo, berbanding dahulu, pesalah biasanya menyasarkan wayar tembaga di dalam tiang lampu jalan sahaja, tetapi kini mereka malah berani bertindak memotong dan mencuri keseluruhan tiang keluli lampu jalan.


Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan pada 14 Jun lalu, pembekal elektrik telah mengesan sembilan tiang keluli lampu jalan di Isthmus Kuching telah dipotong dan dicuri.


Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut dan pihaknya turut meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan bagi mengelak lebih banyak tiang lampu jalan dicuri.


"Amaran telah telah berulang kali diberikan kepada orang ramai dan perbuatan itu boleh meragut nyawa.


"Malangnya amaran ini tidak diendahkan susulan pelaku masih sanggup mempertaruhkan nyawa untuk keuntungan kecil.


Justeru, beliau menegaskan bahawa merosakkan mana-mana kemudahan elektrik yang hidup 24 jam boleh menyebabkan renjatan elektrik, melecur dan juga kematian.


Dalam kes lampu jalan yang tidak menyala disebabkan oleh kecurian wayar, pengguna jalan raya lain turut menghadapi risiko kemalangan, katanya.


"Orang ramai boleh melaporkan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com," ujar beliau.

Next Post Previous Post