50 itik serati mati akibat tanah runtuh

Keadaan rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tambirat Tengah di sini, malam tadi. Gambar kredit Sarawak Viral News

ASAJAYA—"Saya dengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah dan ketika memeriksa, saya mendapati bahagian dapur rumah telah roboh akibat tanah runtuh."


Demikian kata Hamdan iaitu salah seorang penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tambirat Tengah di sini, malam tadi.


Menceritakan detik cemas ketika kejadian berlaku kepada Borneo Network, dia berkata insiden tersebut terjadi sekitar jam 10 malam.


Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian sekitar jam 10.40 malam tadi. Gambar kredit Sarawak Viral News


"Ketika itu saya hendak tidur sebelum mendengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah. Saya terus bergegas ke bahagian dapur dan melihat pokok kelapa di belakang rumah sudah tiada.


"Kejadian berlaku pantas, beberapa saat sahaja saya lihat semuanya sudah hilang dan saya terus berlari ke depan memanggil isteri dan anak-anak untuk keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di sini, pagi tadi.


Menurut bapa kepada tiga anak ini, akibat kejadian itu dia turut kehilangan 50 ekor itik serati dalam sangkar bersama runtuhan di belakang rumah tersebut.


Hamdan, salah seorang penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tambirat Tengah. Gambar kredit Sarawak Viral News


Sementara itu katanya, sebelum ini terdapat beberapa tanda-tanda tanah merekah di belakang rumah namun dia tidak menyangka akan berhadapan situasi mencemaskan tersebut.


Bagaimanapun Hamdan bersyukur insiden berkenaan tiada melibatkan kecederaan kepada dirinya serta ahli keluarganya yang lain.


Dalam pada itu, dia turut berharap agar pihak kerajaan dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat bagi membantu membina rumah ataupun memberikan lot tanah untuk pembinaan rumah kediaman baharu dengan segera.


Turut berada di lokasi, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asajaya.


Terdahulu, penghuni dua buah kediaman di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kejadian tanah runtuh di kediaman mereka, semalam.


Bagaimanapun dalam kejadian sekitar pukul 10.40 malam itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.


Terdapat dua buah lagi rumah berdekatan telah diarahkan berpindah demi keselamatan penghuni rumah tersebut.

Next Post Previous Post