5 bahagian di Sarawak diisytihar kawasan kawalan FMD, Dr Rundi

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom. Gambar kredit UKAS

KUCHING—Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Miri dan Limbang kini diisytihar sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut (FMD).


Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata lima bahagian itu bersempadan dengan Kalimantan Barat dan Kalimantan Utara di Indonesia di mana wabak aktif penyakit itu berlaku dalam populasi lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.


Beliau berkata pengisytiharan itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dapat mengenakan dan membuat semua langkah kawalan yang perlu untuk mencegah kemasukan FMD ke Sarawak.


“Langkah kawalan yang dilaksanakan termasuk larangan import ke atas ternakan dan produk ternakan dari Indonesia, pemantauan dan pengawasan ternakan di kawasan berisiko tinggi dan menjalankan pemeriksan veterinar di pintu masuk ke Sarawak.


“FMD adalah jangkitan virus akut yang sangat mudah menjangkiti haiwan berkuku dua termasuk lembu, kerbau, rusa ternakan, kambing, biri-biri, babi serta babi hutan dan rusa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Dr Rundi berkata penyakit itu merebak dari haiwan ke haiwan melalui berkata penyakit itu merebak dari haiwan ke haiwan melalui aerosol, lelehan hidung dan juga daripada makanan yang tercemar, tempat tidur dan fomit lain.


“Bagaimanapun, FMD bukanlah penyakit zoonosis dan ia tidak mengancam kesihatan awam, berbeza dengan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang menjejaskan anak-anak kita disebabkan virus yang lain,” katanya.


Beliau berkata Sarawak diiktiraf sebagai zon bebas FMD tanpa vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia sejak Mei 2004 dan status kebebasan ini penting terutama untuk perdagangan antarabangsa bagi ternakan dan produk ternakan.


“Segala usaha perlu dilakukan untuk mencegah penyakit ini memasuki Sarawak,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post