4 maut seorang parah, nahas dua kereta
Keadaan salah satu kereta yang terbabit kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi. Gambar kredit Bomba |
KUALA LUMPUR—Empat termasuk dua wanita maut dan seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di susur keluar dari arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut dikenali pasti sebagai P. Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31 dan Leong Man Yuen, 27 manakala yang parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28.
Bomba berada di lokasi kemalangan. Gambar kredit Bomba |
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 4.11 pagi.
Katanya insiden tersebut membabitkan kereta Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki dan Wira jenis sedan dinaiki empat orang.
"Empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA