3 ditangkap "Main Up"
Antara penunggang motosikal yang ditahan dan diperiksa polis. Gambar kredt PDRM |
KUCHING—Padah membuat aksi 'wheelie', tiga lelaki berusia 18 hingga 20 tahun ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Masja di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah (IPD) Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, operasi sekitar jam 4.30 petang hingga 11 malam itu dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching.
"Hasil operasi ini, seramai tiga individu ditahan kerana melakukan kesalahan memandu secara melulu dengan cara tunggangan membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.
"Justeru, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu kata Ahsmon, operasi itu diketuai oleh Insp Penguatkuasa Trafik Kuching, Ngang Kalimpot bersama 14 anggotanya serta 16 anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuching.
Tambah beliau, sebanyak 143 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan menerusi operasi itu.
"Antara kesalahan tertinggi adalah ubah suai struktur peralatan kenderaan (22 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (19 saman), tiada cermin sisi (18 saman) serta pelbagai kesalahan lalu lintas lain.
"Sebanyak 55 kenderaan dan 67 orang telah diperiksa manakala sebanyak 20 motosikal disita.
"Bagi kesalahan Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya, boleh didenda RM5000-RM15000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun," katanya.
Dalam pada itu tegas Ahsmon, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu yang memandu secara berbahaya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan maut di Kuching.