2 maut 3 cedera, pacuan empat roda terbabas langgar tiang jejantas

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang - Taman Damansara Aliff di sini, pagi tadi. Gambar Bomba

JOHOR BAHRU— Dua maut manakala tiga yang lain cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang - Taman Damansara Aliff di sini, pagi tadi. 


Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusoff berkata Charles Anak Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian penumpang dan seorang lagi dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan. 


Beliau berkata mangsa yang cedera iaitu Douglas Anak Martin, 29, Kareno Anak Esang, 39, dan Andy Mieky Anak Bunyah, 22, telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah,


Katanya kesemua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Pasir Gudang menghala ke Perling.


“Sembilan orang anggota digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 6.39 pagi. 


"Setibanya di tempat kejadian, bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Operasi menyelamat selesai pada pukul 7.55 pagi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post