Warga emas maut ketika cuba potong kenderaan lain

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU-- Seorang pemandu warga emas maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 8 Jalan Nitar, Mersing, pukul 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Honda City, Yusof Deris, 66, yang dipercayai dalam perjalanan dari Felda Nitar 2 menuju ke Mersing, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta itu cuba memotong kenderaan di hadapan, namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Pesona, dan sebuah lagi kereta Proton Persona yang berada di laluan Honda City turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Pemandu kereta Honda City disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kedua-dua Proton Persona yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Yusof Mat Yar dalam kenyataan berkata pemandu Honda City itu didapati tersepit di tempat duduk pemandu Honda City, manakala seorang wanita di tempat duduk penumpang pula cedera.

Beliau berkata tujuh lagi yang cedera adalah pemandu dan penumpang dua kereta Proton Pesona berkenaan.

Katanya operasi ditamatkan pada pukul 9.22 malam tadi. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post