Violet dakwa Sarawak jadikan rakyat tikus makmal, Pemuda SUPP buat laporan polis

Liew Leong Yee membuat laporan polis berhubung dakwaan Violet.

KUCHING—Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tampil membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong atas hantaran fitnah yang dimuat naiknya di Facebook berhubung pemberian dos penggalak menggunakan vaksin COVID-19 yang tamat tempoh kepada penerima.

Memetik laporan The Borneo Post, Penolong Setiausaha Pemuda Pusat SUPP Liew Leong Yee berkata, terdapat dua hantaran video yang dimuat naik Violet di Facebooknya dengan mengatakan kerajaan Sarawak menggunakan rakyat Sarawak sebagai 'tikus makmal' dalam pengurusan proses vaksinasi bagi dos penggalak menggunakan vaksin yang telah luput.

"Kenyataan seumpama ini tidak benar dan tidak berasas. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan kerajaan Sarawak telah mengeluarkan beberapa kenyataan bahawa pengeluar vaksin telah memanjangkan semua tarikh luput jenis vaksin masing-masing kepada tarikh yang lebih lama.

"Justeru, vaksin dos penggalak tidak luput dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew, yang juga Ketua Pemuda SUPP Batu Lintang, berkata kenyataan Violet telah menimbulkan keresahan dalam kalangan orang awam dan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sarawak secara amnya.

“Ramai orang enggan meneruskan untuk menerima dos penggalak kedua kerana kenyataan yang tidak benar itu dan mengakibatkan usaha kerajaan Sarawak dalam memerangi COVID-19 terhalang dan terancam.

"Akibatnya, nyawa orang ramai dan keselamatan masyarakat terancam," dakwanya sambil menambah laporan polis dibuat supaya ada siasatan berhubung perkara itu.

Liew membuat laporan itu ditemani Ketua Pemuda SUPP cawangan Kuching Eric Tay.

Dalam video yang disiarkan di laman Facebook Violet pada 28 April, beliau mempersoalkan kesahihan dos penggalak.

"Kenapa berikan suntikan penggalak yang telah tamat tempoh kepada rakyat Sarawak? Mengapa menjadikan orang Sarawak sebagai 'tikus makmal'? Bolehkah Dr Sim Kui Hian sebagai menteri yang menjaga hal ehwal kesihatan di Sarawak menjelaskannya?” kata Violet dalam hantaran itu.
Next Post Previous Post