Ujian kesan COVID-19 beberapa kumpulan pengembara digugurkan
Gambar hiasan kredit Unsplash |
KUALA LUMPUR—Keperluan pengujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan digugurkan bermula hari ini bagi beberapa kumpulan pengembara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ia termasuk pengembara berusia 18 tahun dan ke atas yang telah lengkap vaksinasi dan pengembara berusia 17 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.
Selain itu, katanya pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi juga terkecuali.
Bagi pengembara berusia 18 tahun dan ke atas tanpa status vaksinasi lengkap, Khairy berkata mereka perlu melakukan ujian prapelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag profesional.
Menurutnya, pengembara kategori tersebut juga harus menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau maya.
“Sekiranya keputusan pengujian COVID-19 adalah negatif pengembara perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah, menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC sama ada secara fizikal atau maya pada hari kelima.
“Pelepasan kuarantin pada hari kelima boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK-Antigen hari kelima adalah negatif. Sekiranya keputusan ujian COVID-19 adalah positif, pengembara akan diurus mengikut pengurusan kes positif sedia ada,” katanya.
Sementara itu, katanya, mana-mana pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau maya.
Pada masa sama, katanya semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller’s Card yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA.
-- BERNAMA