Ubah tangki kenderaan untuk simpan 2,700 liter diesel tanpa permit, tiga ditahan
Rampasan minyak diesel yang disimpan di dalam tangki plastik yang diubah suai. |
Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata, rampasan dan tangkapan itu dibuat semasa Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri menjalankan Op Kontraban sekitar jam 6.20 petang semalam di lokasi berkenaan.
Rampasan minyak diesel oleh pasukan Polis Marin Sarawak di Pujut 3, Miri semalam. |
"Pasukan telah menahan dan memeriksa seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam yang membawa minyak diesel lebih kurang sebanyak 900 liter di dalam tangki tambahan di bahagian belakang tangki plastik segi empat.
Manakala sebuah lagi van jenis Ford berwarna putih membawa minyak diesel kira-kira 1,800 liter yang disimpan di bahagian belakang tangki plastik segi empat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semasa pemeriksaan kedua-dua pemandu gagal menunjukkan atau mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki atay menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit, tanpa lesen dan tanpa kebenaran khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Zulfikar memberitahu jumlah dan nilai rampasan keseluruhan yang melibatkan kenderaan Hilux, van, 2,700 liter minyak diesel, tiga tangki plastik yang diubah suai pada kenderaan dan seunit pam adalah RM106,085.
"Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDHHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.