Tokan kayangan guna kondo mewah proses dadah diberkas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan sebahagian daripada rampasan ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini. Gambar kredit JSJN Narkotik PDRM


KUALA LUMPUR—Polis menyerbu dua unit kondominium mewah yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah jenis ekstasi di sekitar ibu negara, dan menahan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu, serta tiga wanita warga China yang disyaki terbabit, Khamis lepas.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka yang berumur 48 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 4.30 petang.


Beliau berkata kondominium mewah itu disewa RM2,500 sebulan tiap satu unit dan ia digunakan sebagai tempat untuk memproses dadah, sebelum dijual kepada pelanggan di kelab malam serta pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai telah aktif sejak hujung tahun lepas.


"Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta dan dua kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.


Menurutnya semakan mendapati tiga wanita warga asing itu masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial.


Beliau berkata kesemua mereka yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu Ayob Khan berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat Malaysia bersama anak lelakinya yang ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lepas.


“Bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam, dan anaknya masih ditahan reman sehingga esok, mungkin akan disambung reman,” katanya.


Katanya kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.


Selasa lepas media melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi, Pahang.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post