Tarikh akhir PICKids dilanjutkan ke 31 Mei
Gambar hiasan |
Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada 10 Mei lepas mengambil kira sambutan Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan pusat pemberian vaksin (PPV).
“Keputusan ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Azmi berkata bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei 2022, dikekalkan dan tempahan janji temu tidak lagi diterima selepas tarikh tersebut.
Katanya, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih.
"Di bawah kategori b, ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik. Bagi kategori c iaitu ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.
"Bagaimanapun, ibu bapa dalam kategori b dan c masih boleh membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara walk-in (jumpa terus) di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 31 Mei 2022,” katanya.
Beliau berkata pemberian vaksin di Klinik Kesihatan KKM adalah bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia di sesebuah Klinik Kesihatan dan secara first come basis (siapa cepat) dan sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut telah habis, ibu bapa perlu hadir semula pada hari berikutnya.
'”Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di bawah PICKids.
"Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta. Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 kerana mereka dijangkiti COVID-19," katanya.
Dr Noor Azmi berkata mengambil kira komplikasi Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C) yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke Klinik Kesihatan dalam tempoh enam minggu selepas sembuh dari jangkitan atau selewat-lewatnya pada 30 Ogos depan.
"Untuk makluman ibu bapa juga pemakluman ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022.
"Ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori ini boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin COVID-19 dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023 untuk menerima vaksinasi COVID-19 di bawah program PICKids. Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama di bawah program PICKids bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023," katanya.
-- BERNAMA