Tak dapat duit, lelaki ugut pecah kepala ibu
Suspek ditahan kerana disyaki mengugut ibunya serta merosakkan barangan keluarganya. |
MIRI—Berang tidak diberikan wang, seorang lelaki mengugut mahu memecahkan kepala ibunya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Usaha Jaya, Batu 8, dekat sini pagi tadi.
Pada kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 28 tahun meminta wang dari ibunya namun permintaannya tidak diendahkan.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga, berkata suspek turut merosakkan barangan di dalam rumah dan sebuah motosikal milik ayahnya.
“Bertindak dari laporan yang diterima, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek pada hari yang sama sekitar jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.