SUPP Batu Lintang bantu mangsa kebakaran di Kpg Tabuan Dayak membuat permohonan sewa beli rumah
KUCHING: Permohonan skim sewa beli unit kediaman lima keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tabuan Dayak, 7 Mei lalu sedang dalam proses kelulusan setakat ini, kata Sih Hua Tong.
Menurut Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Lintang terbabit, pihaknya telah membantu keluarga mangsa mengisi dan menghantar borang kepada pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak.
Katanya, permohonan berkenaan kini sedang diproses manakala pilihan pertama untuk lima keluarga terbabit adalah rumah flat di kawasan Demak Laut.
“Diharapkan agar permohonan ini dapat diluluskan di bawah skim ini dan mereka juga akan layak membuat pinjaman bagi skim ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa kebakaran di kediaman ketua kampung Ongom Gudy di Kampung Tabuan Dayak Paya, di sini semalam.
Bantuan berupa barangan makanan keperluan asas itu disampaikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Kedandi, Wan Alwi, Urat Mata dan King Centre di sini.
Sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban mangsa kebakaran lebih-lebih lagi menjelang perayaan Hari Gawai Dayak selain sempena Festival Dumpling yang akan datang.
Dalam insiden kebakaran pada 7 Mei lalu, seramai 33 mangsa kebakaran termasuk enam kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun hilang tempat berteduh sejak kediaman mereka musnah terbakar.
Sementara itu, kesemua mangsa kini dipindahkan dan ditempatkan sementara di dewan masyarakat Kampung Stampin Baru.
Di samping itu, Sih berkata, apa yang lebih penting pada masa ini ialah mangsa kebakaran perlu membuat persediaan untuk kelulusan permohonan mereka.
“Mereka kini dalam fasa pemulihan di mana mereka akan kembali bekerja, dan anak-anak akan kembali ke sekolah.
“Jadi kita kena bantu mereka dengan menghulurkan bantuan keperluan harian seperti bekalan dapur, tong gas, dan lain-lain,” katanya.