Sukan Sea: Malaysia mampu tuai lebih 50 pingat emas di Hanoi


KUALA LUMPUR—Tidak mustahil kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam mampu menuai lebih 50 pingat emas sekali gus mengatasi sasaran 36 emas yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata setakat ini 36 emas adalah sasaran yang realistik untuk dicapai.

Namun, beliau berkata pihaknya menjangkakan sebanyak 16 atau 17 emas lagi mampu dikutip kontinjen negara sekiranya analisis yang dilakukan berkaitan kemajuan atlet dan pasukan negara lain tepat dan tidak berubah.

“Untuk 16 ataupun 17 lagi itu berdasarkan beberapa data yang tidak dapat kita peroleh khususnya data perkembangan prestasi lawan kita.

“Oleh kerana mereka tidak keluar, tidak bertanding dan beberapa kejohanan yang mempertemukan atlet kita dengan atlet negara lain atau saingan kita tidak dapat dilangsungkan, jadi itu menyebabkan kita tidak dapat mengagak dengan jelas keadaan mereka dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Ke-31 di MSN, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Pada sidang media majlis itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan sasaran Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu adalah 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan jumlah keseluruhan 146 pingat.

Berdasarkan prestasi semasa, 15 jenis sukan disasar menjadi penyumbang 36 pingat emas dengan terjun dan olahraga dianggap lubuk emas negara apabila berupaya menyumbang lebih lima emas.

Sementara itu, taekwondo, wushu, petanque, pencak silat dan bina badan antara sukan yang mampu memberikan bonus pingat emas.

Sukan SEA ke-31 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei dengan seramai 584 atlet negara mengambil bahagian.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan Sukan SEA adalah 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk muncul juara edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pada edisi 2019 di Filipina, kontinjen negara gagal menepati sasaran 70 pingat emas ditetapkan apabila hanya membawa pulang 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post