Sinar di hujung terowong, Abang Johari berjanji kerajaan Sarawak ambil alih projek perumahan Sentoria

Kerajaan Sarawak masih menunggu penyelesaian berkaitan perundangan syarikat berkenaan sebelum mengambil alih projek itu — Abang Johari

KUCHING—Kemelut yang dihadapi pembeli projek perumahan Sentoria di Petra Jaya di sini mungkin akan menemui 'sinar' apabila kerajaan negeri bersetuju akan mengambil alih projek perumahan tersebut.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dapat dicapai sekiranya masalah berkaitan perundangan oleh syarikat berkenaan dapat diselesaikan.

Buat masa ini katanya, kerajaan Sarawak masih menunggu penyelesaian berkaitan perundangan syarikat berkenaan sebelum mengambil alih projek itu.

 
"Kita hanya akan dapat mengambil alih projek itu apabila segala masalah serta kes perundangan syarikat pemaju berkenaan telah diselesaikan.

“Projek Sentoria ini telah dikendalikan sebuah syarikat disenarai awam dan saya telah memberi amaran kepada mereka.

“Jika mereka dapat menyelesaikan masalah dari aspek perundangan, maka kerajaan negeri akan mengambil alih projek kerana mereka syarikat disenarai,” katanya bercakap kepada media.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Aidilfitri N.26 Gedong di Hotel Raia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri DUN Gedong yang dihadiri bekas ADUN Gedong juga pengerusi pengelola majlis Datuk Mohd Naroden Majais di sini hari ini.

Baru-baru ini, projek perumahan Sentoria Borneo Land tular di media sosial setelah ia terus membelenggu para pembeli yang masih terbengkalai hingga kini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan tetamu yang lain memotong kek pada Majlis Ramah Aidilfitri N.26 Gedong di Hotel Raia di sini hari ini.

Malah, ramai dalam kalangan pembeli melahirkan rasa kecewa dan marah kerana rumah yang ditunggu-tunggu, lebih-lebih lagi kedatangan bulan Syawal tidak siap dan terbengkalai hingga ke hari ini.

Selain itu, pelbagai usaha telah mereka lakukan termasuk membawa kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang tertarik dengan hiasan kek.

Abang Johari yang menyedari apa yang dialami oleh pembeli menegaskan, kerajaan negeri akan terus mengambil alih projek sebaik sahaja perundangan diselesaikan.

Untuk rekod, pembinaan perumahan itu sepatutnya tamat pada tahun 2019, tetapi sehingga kini, ia masih belum disiapkan walaupun para pembeli telah mula membayar pinjaman.

Potongan sudah 3 tahun berjalan, rumah tak siap siap. Pembeli meraikan kawan kawan dalam majlis rumah terbuka di rumah impian yang masih terbengkalai.

Sebelum ini, pembeli rumah di projek perumahan Sentoria Borneo Land terpaksa melupakan impian mereka untuk menyambut hari raya dalam rumah baharu pada tahun ini setelah rumah mereka masih terbengkalai.

Difahamkan, projek perumahan melibatkan tujuh fasa tersebut hanya berjaya disiapkan dan didiami pembeli di fasa 1 hingga 4, sementara fasa 5 hingga ke 7 termasuk Rumah Spektra Medium (RSM) masih terbiar.

Pembeli yang terkilan mendedahkan kepada Borneo Network hari ini, berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani kebanyakan pembeli, pengeluaran permit menduduki (OP) adalah bertarikh pada 2019 dan 2020.

Lama menunggu rumah tak siap-siap, pembeli terpaksa beraya di rumah mereka yang terbengkalai.

Namun begitu, sehingga kini rumah yang diimpikan memang betul-betul umpama mimpi dalam mimpi. Mereka kini menjadi mangsa apabila terpaksa membayar ansuran pinjaman bank bertahun lamanya sedangkan rumah tidak disiapkan.

Menurut salah seorang pembeli, Mohd Nazri Arpan, 35, pelbagai usaha telah diikhtiarkan oleh komuniti pembeli sehingga perjumpaan bersama menteri berkaitan juga telah diadakan.

Bagaimanapun katanya, hasil perbincangan tampak berjalan perlahan meskipun potongan pinjaman telah bermula sekian lama dan hal ini telah menambah beban kewangan keluarga masing-masing. 

Pembeli rumah di projek perumahan Sentoria Borneo Land sudah lama mengimpikan suasana berhari raya di rumah baharu.

"Usaha kami (pembeli) langsung tidak dipandang seolah-olah seperti dipermainkan.

"Isu ini banyak menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembeli kerana dalam masa sama, terpaksa berdepan bebanan hutang serta faedah pinjaman yang perlu dijelaskan," katanya ketika dihubungi #borneonetwork.

Seorang lagi pembeli, Wan Rabbani, 33, mendakwa, dia dan rakan-rakan yang senasib dalam isu itu amat terbeban kerana sudah mula membayar ansuran bulanan pembiayaan bank.

"Yang terbaharu, saya ada menerima email daripada pihak LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) menyatakan pembayaran sedang dilakukan kepada pihak pemaju.

"Sedangkan sejak sekian lama, projek tersebut masih terbengkalai.

"Mereka (LPPSA) memaklumkan menerima maklumat daripada pihak pemaju berkemungkinan ada penambahan peratusan kesiapan rumah itu, sebaliknya apa yang saya lihat, cuma beberapa orang sahaja pekerja kelihatan di tapak binaan.

"Kami jadi buntu, semua pihak berkaitan telah dirayu, dimohon untuk membantu menyelesaikan masalah ini namun tiada perkembangan positif yang kami terima.

"Saya merayu belas ihsan kerajaan negeri agar dapat membantu kami yang amat terkesan dengan masalah ini sejak tiga tahun lepas," katanya yang membayar hampir RM1,000 setiap bulan sedangkan rumah sudah 3 tahun di belakang jadual, serta tidak menampakkan usaha untuk disiapkan.

Pembeli terbeban kerana sudah membayar ansuran bulanan namun ini yang terjadi.

Sementara menurut seorang lagi pembeli yang hanya ingin dikenali sebagai Imah yang berusia 30 an, masalah kelewatan ini sudah banyak kali diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan.

Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ini menzahirkan perasaan hiba apabila melihat keadaan rumah yang kini rumput sekitar semakin meninggi di samping kelewatan projek menyebabkan dia terpaksa menampung komitmen yang tinggi setiap bulan.

"Semasa awal pembelian, sudah fikir dekorasi, warna, ubahsuai dan sebagainya. Kini, yang penting rumah siap dan dapat kunci rumah.

"Sepatutnya saya dan anak-anak boleh menduduki rumah ini pada 2019, tetapi janji tinggal janji walaupun sudah masuk tiga kali raya Aidilfitri," katanya.
Next Post Previous Post