Selina lahirkan anak kedua

Kelahiran ini adalah satu lagi kejayaan SFC dan kerajaan Sarawak dalam usaha pemuliharaan orang utan. Gambar kredit Sarawak Forestry Corporation


KUCHING— Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyampaikan khabar gembira susulan kelahiran seekor bayi orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC).

Sarawak Forestry Corporation (SFC) ketika mengumumkan perkara itu berkata, ‘ahli keluarga’ baharu itu dilahirkan oleh Orang Utan berusia 20 tahun bernama Selina, yang dipercayai hamil pada Ogos 2021.

Selina dan anaknya sedang berehat di atas pokok di Taman Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC). Gambar kredit Sarawak Forestry Corporation

“Berdasarkan pemerhatian petugas SWC, Selina kali terakhir dilihat pada 2 Mei sebelum kembali semula ke platform memberi makanan pada jam 4 petang semalam dengan anaknya berpaut pada ibunya,” kata SFC dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Ini merupakan anak kedua Selina, selepas melahirkan anak pertama yang dinamakan Rem enam tahun lalu.

Pada ketika ini, SFC turut menunggu seekor lagi orang utan yang dinamakan Saddamiah, 20, yang sedang hamil dan dijangka bersalin dalam masa terdekat.

Selina bergerak dengan bergayut di dahan-dahan manakala anaknya berpaut pada badannya. Gambar kredit Sarawak Forestry Corporation

“Kelahiran ini adalah satu lagi kejayaan SFC dan kerajaan Sarawak dalam usaha pemuliharaan orang utan di negeri ini,” tambah SFC.

SFC turut mempelawa orang ramai datang ke SWC untuk melihat anak orang utan itu.

Pada masa yang sama, SFC turut menganjurkan program pengumpulan dana anak angkat, bagi membiayai pemuliharaan dan pemulihan orang utan.

Maklumat program anak angkat orang utan ini boleh didapati di https://semenggoh.my/adopt-orangutan/.
Next Post Previous Post