Sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan pacu IPP Malaysia
Gambar hiasan kredit Freepik |
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata indeks pembuatan naik 6.9 peratus, indeks elektrik, 0.8 peratus manakala indeks perlombongan 0.3 peratus.
Menurutnya, bagi suku pertama 2022, IPP berkembang 4.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (6.3 peratus), indeks elektrik (3.7 peratus) manakala indeks perlombongan menguncup 1.8 peratus.
“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 8.6 peratus disokong oleh pengembangan dalam kesemua komponen indeks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata output sektor pembuatan meningkat 6.9 peratus pada Mac 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada Februari 2022.
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mac 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (18.6 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.6 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (4.1 peratus).
“Pada masa sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (7.8 peratus) dan industri berorientasikan domestik (5.1 peratus).
“Peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis,” katanya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik telah disumbangkan terutamanya oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan logam asas.
Malah, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan tumbuh 8.5 peratus berbanding Februari 2022 yang dipacu oleh kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan pastik serta kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain.
Output sektor perlombongan berkembang 0.3 peratus pada Mac 2022 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan positif 5.7 peratus dalam indeks gas asli manakala indeks minyak mentah dan kondensat merosot 6.8 peratus.
“Indeks perlombongan merekodkan pertumbuhan 7.2 peratus berbanding bulan lepas,” katanya.
Selain itu, output sektor elektrik tumbuh 0.8 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya manakala indeks elektrik meningkat 13.0 peratus dari segi perbandingan bulan ke bulan.
-- BERNAMA