Rumah terbakar, 30 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Sungai Perik di Jalan Sepupok Batu Niah, malam kelmarin. Gambar BBP Batu Niah |
MIRI-- Seramai 30 sekeluarga di Kampung Sungai Perik di Jalan Sepupok Batu Niah tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran malam Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Batu Niah bergerak ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran yang berlaku sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.10 malam.
"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnah rumah jenis tidak kekal dua tingkat itu," ujarnya.
Pasukan bomba sejurus itu katanya menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel pam jentera dan pam angkut air terbuka bagi memadam kebakaran yang berlaku.
Selepas hampir tiga jam memadam api, kebakaran yang berlaku akhirnya dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.38 pagi.
Pasukan bomba sejurus itu katanya melakukan 'overhaul' bagi memastikan api berjaya dipadam sepenuhnya dan tiada kebakaran berulang.
"Kebakaran yang berlaku turut memusnahkan enam buah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil," jelas beliau.
Hasil siasatan awal katanya mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian atas kediaman berkenaan.
Mujurlah jelas Rary kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.