Remaja ditahan cuba lari selepas langgar anggota polis
Gambar hiasan |
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu ditahan bagi tujuan pemeriksaan sebelum dia bertindak melarikan diri dan melanggar seorang anggota menyebabkan dia turut terjatuh mengenai penghadang jalan.
“Anggota polis yang dilanggar mengalami kecederaan di kepala manakala remaja terbabit cedera di bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikalnya. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu. Semakan terhadapnya mendapati tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing adalah negatif dan direman tiga hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aidi Sham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam selain menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain.
-- BERNAMA