Pukul, cekik isteri selepas disuruh beli makanan
Suspek ditahan selepas dipercayai mencederakan isterinya di kediaman mereka di Jalan Riam, petang tadi. Gambar kapsyen Polis Miri |
MIRI—Berang diminta isteri membeli makanan dari kedai kerana mangsa tidak sempat memasak, seorang lelaki bertindak mencekik dan memukul wanita tersebut dalam satu kejadian di Jalan Riam, tengah hari tadi.
Kejadian berlaku di dalam kediaman pasangan tersebut sekitar jam 12.45 tengahari.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 36 tahun itu telah ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ )IPD Miri untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, sebelum kejadian, telah berlaku satu pertengkaran di antara mangsa dan suaminya selepas mangsa meminta suspek membeli makanan dari kedai kerana hendak cepat menghantar dua anak mereka ke kelas tambahan.
Namun, suspek tiba-tiba berang lalu menampar kepala mangsa sebelum bertindak mencekiknya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga (Pindaan) 2017.