Piala Thomas: India punahkan harapan Malaysia di Bangkok

Aksi pemain badminton perseorang negara Lee Zii Jia membalas hantaran daripada lawannya, Lakshya Sen pada perlawanan suku akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena, Bangkok. Zii JIa menang dengan keputusan 23-21 21-9. Gambar kredit BAM 

BANGKOK— India mencipta sejarah malam ini selepas mengejutkan juara lima kali, Malaysia 3-2 dalam perlawanan suku akhir untuk mara ke peringkat separuh akhir buat julung kali dalam Piala Thomas. 

Bagaimanapun, ia bukan satu perjalanan mudah buat India bangkit kembali dan meranapkan harapan Malaysia yang mengalami kemarau kejuaraan selama tiga dekad sejak kali terakhir menjuarainya pada 1992 di Kuala Lumpur.

India bermula dengan langkah kiri, biarpun pemain perseorangan utamanya Lakshya Sen memberikan tentangan sengit kepada perseorang pertama Malaysia, Lee Zii Jia yang menyaksikan mereka terikat pada mata 16-16 sebelum pemain berasal dari Kedah itu menemukan jalan keluar untuk menamatkan set pertama dengan kelebihan dua mata, 23-21.  

Aksi Pemain Badminton Perseorangan Negara Ng Tze Yong membalas hantaran pemain dari India, Kidambi Srikanth pada perlawanan suku akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. Ng Tze Yong tewas dengan keputusan 21 -11,21-17. Gambar kredit BAM 

Zii Jia yang merupakan pemain nombor enam dunia mengawal permainan sepenuhnya sementara Lakshya yang berada pada ranking kesembilan dunia tidak mendapat rentak permainan serta ketepatan pukulan diinginkan yang akhirnya memberikan Malaysia permulaan yang baik dengan kemenangan 21-9.

Bagaimanapun, India berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mempamerkan aksi mengagumkan yang mengakhiri persembahan menarik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada kejohanan kali ini.

Beregu nombor lapan dunia itu mengambil masa 41 minit untuk mengatasi Sze Fei-Nur Izzuddin yang berada di kedudukan ke-13 dunia, 21-19, 21-15 dan ini merupakan kemenangan keenam mereka ke atas beregu Malaysia selepas tujuh pertemuan. 

Kemenangan Satwiksairaj-Chirag sememangnya menaikkan semangat perseorangan kedua India,  Srikanth Kidambi untuk menundukkan bintang negara yang sedang meningkat naik Ng Tze Yong, 21-11 dalam set pertama.

Selepas ketinggalan 9-15 dalam set seterusnya, pemain nombor 46 dunia, Tze Yong mengembalikan harapan Malaysia dengan mendapatkan lima mata untuk merapatkan jurang mata kepada 14-15.  

Bagaimanapun, pemain India yang lebih berpengalaman itu kembali mendapat rentak permainannya untuk memenangi set kedua 21-17 untuk memberikan kelebihan satu mata buat pasukannya ke atas Malaysia.

Bagaimanapun kemunculan beregu Malaysia seterusnya yang diwakili ketua pasukan Aaron Chia dan Teo Ee Yi tidak mengecewakan.

Aksi Pemain Badminton beregu negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin membalas hantaran lawannya dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty pada perlawanan suku akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. Beregu negara tewas dengan keputusan21-19,21-15. Gambar kredit BAM 

Aaron-Ee Yi terselamat dalam pertarungan mendebarkan dengan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud yang tidak memberikan laluan mudah sebelum memenangi set pertama 21-19 dan meneruskan momentum mereka dalam set kedua untuk menewaskan wakil India itu 21-17 dan seterusya menyamakan kedudukan 2-2 bagi Malaysia.

Setelah berjaya menyamakan kedudukan, nasib pasukan negara terletak di tangan Leong Jun Hao tetapi beliau gagal untuk menyumbang mata kemenangan.

Perlawanan ketiga perseorangan itu dimenangi pemain India Prannoy H.S yang mengatasi Jun Hao 21-13, 21-8 dan mengakhiri kemaraan Malaysia dalam edisi Piala Thomas kali ini.

India akan berhadapan Denmark dalam perlawanan separuh akhir esok selepas wakil Scandinavia itu  menyingkirkan Korea Selatan 3-2 sementara juara bertahan Indonesia yang menewaskan China, 3-0 akan berhadapan Jepun yang mengalahkan Taiwan, 3-2.
 
 
Lain-lain keputusan 
--------------------------
 
Piala Uber:
 
Indonesia kalah kepada China 0-3
 
Jepunn mn Taiwan 3-0
 
India kalah kepada Thailand 0-3
 
Korea Selatan mn Denmark 3-0
 
-- BERNAMA
Next Post Previous Post