Penunggang motosikal maut dilanggar kereta
Kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki di Jalan Bintawa pagi tadi. Gambar kredit Trafik |
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak dalam kenyataan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, pemandu kereta Perodua Axia yang datang dari arah perumahan Prima ke arah pusat bandar seorang diri telah hilang kawalan apabila melalui selekoh dan terbabas lalu melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, penunggang motosikal berusia 29 tahun beralamat dari Kampung Kerangan, Serian telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak.
Manakala pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah dari pemandu kereta yang terbabas masuk ke laluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan pemandu Perodua Axia ditahan untuk siasatan lanjut
Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan basah selepas waktu hujan.