Pengawal keselamatan maut motosikal rempuh 4x4
Kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal dan kenderaan 4x4 di Jalan Beluru - Lapok di sini petang semalam. Gambar Polis Marudi |
MARUDI—Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang membelok ke arah simpang kiri di Jalan Beluru - Lapok di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib berkata, dalam kejadian sekitar jam 1 petang, mangsa, 52, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang dalam perjalanan dari arah Beluru menuju ke Lapok.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal terbabit apabila sampai di jalan menuruni bukit tidak sedar terdapat sebuah kenderaan berada di hadapan yang sedang menunggu untuk masuk ke simpang kiri.
“Motosikal tersebut lalu melanggar belakang sebelah kanan kenderaan tersebut," ujarnya.
Akibat kemalangan itu penunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Beluru.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987.
Kes masih dalam siasatan.