Pembukaan sempadan Brunei legakan rakyat Limbang, Lawas
Mohamad Abu Bakar |
LIMBANG—Pembukaan semula pintu sempadan darat dan laut oleh Brunei Darussalam pada 1 Jun ini disambut baik rakyat di Limbang dan Lawas.
Bagi mereka, ia keputusan yang terbaik dan ditunggu-tunggu yang sangat dinanti sejak lebih dua tahun.
Keputusan itu melegakan rakyat di utara negeri yang sebelum ini terhad pergerakan keluar masuk ke Limbang dan Lawas untuk urusan penting.
“Alhamdulillah, ini satu usaha murni dan disambut baik oleh ‘kitani’ rakyat Limbang bukan saja akan merancakkan aktiviti ekonomi dan perdagangan dua hala malah memudahkan pergerakan kita ke luar Limbang,”
Pembukaan pintu sempadan ini bukan saja akan merancakkan aktiviti ekonomi dan perdagangan dua hala,” kata Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Limbang Mohamad Abu Bakar kepada Borneo Network hari ini.
Mohamad yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML), berkata selain itu ia dapat mengubat kerinduan untuk bertemu ‘dangsanak' di Brunei selepas lebih dua tahun tidak berjumpa.
“Kita tidak sabar dan teruja menanti, tunggulah tarikh keramat tersebut,” katanya.
Ghani Marali |
Bagi penduduk Kampung Seberang Kedai Limbang, Ghani Marali, 68, beliau amat mengharapkan pembukaan sepenuhnya sempadan itu menjadi kenyataan.
“Kami di Limbang amat berharap dapat melintas sama ada ke Miri mahupun Lawas.
Inilah masa kami mengeratkan hubungan antara keluarga yang lama terpisah, kehidupan dan ekonomi kembali dan hubungan antara negara Malaysia dan Brunei.
“Harapan kami sebagai rakyat Limbang agar kehidupan kita semua kembali normal seperti sebelum pandemik COVID-19,” ujarnya.
Nurfazreen Usop |
Bagi NurFazreen Usop 34, keputusan berkenaan satu langkah yang baik khusus bagi rakyat Limbang yang terpencil dan terpisah antara bahagian lain di Sarawak kerana
ketiadaan jalan terus menuju ke Miri mahupun ke Sabah.
“Kita bersyukur jika sempadan dibuka semula dan aktiviti seharian dapat dilakukan seperti dulu. Hendak pergi ke Miri mahupun Lawas pun senang.
Kami tidak mampu bergantung kepada laluan udara yang mahal. Harapan kami agar prosedur untuk melintas Brunei dipermudah dan tanpa bayaran seperti dulu,” katanya.
Omarali Matjais |
Bagi penduduk Lawas, Omarali Matjais berkata, 1 Jun ini amat dinanti-nantikan oleh warga dari kedua-dua negara dan menyifatkan ia amat tepat pada masanya.
“Pembukaan ini melegakan banyak pihak kerana dapat meneruskan urusan perniagaan dan urusan kerja masing-masing yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Brunei adalah rakan strategik yang penting bagi Sarawak khususnya di utara samada dalam bidang ekonomi dan sosial. Harapan kami agar ekonomi kembali pulih,” katanya.
Omarali gembira kerana selepas ini dapat mengunjungi majlis perkahwinan dan kematian, sekali gus menterjemaahkan pepatah ‘kami Merindui awda semua’.
“Walau bagaimanpun, saya nasihatkan agar kedua belah pengunjung mematuhi garis panduan (SOP) dan peraturan yg digariskan oleh pihak berwajib bagi memastikan keselamatan dan kesihatan bersama,”katanya lagi.