PBDSB persoal kewajaran KPM perkenal pembelajaran jawi di sekolah rendah

Bobby William 

KUCHING—Kementerian Pendidikan (KPM) tidak seharusnya menambah beban murid sekolah rendah dengan memperkenalkan subjek tulisan jawi dalam sukatan pelajaran, kata Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby William.

Memetik laporan The Borneo Post, Bobby yang mengulas tentang isu itu percaya jika langkah itu diteruskan, ia boleh menjejaskan tumpuan dan keupayaan pembelajaran kanak-kanak dalam mata pelajaran teras yang penting seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Menurutnya, PBDSB menegaskan bahawa pembelajaran Jawi harus dijadikan pilihan dan tidak diwajibkan kepada murid jika mereka ingin memperoleh kemahiran lain.

“PBDSB juga berpendapat bahawa KPM sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada bagaimana untuk meningkatkan kualiti pendidikan, terutamanya di kalangan sekolah luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Bobby langkah KPM itu tidak harus mewajibkan murid mengambil mata pelajaran tersebut.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan kewajaran mempelajari Jawi jika penggunaannya dalam bidang lain dihadkan. 

“Hari ini, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia sudah agak rendah. Kerajaan sebaliknya harus menumpukan kepada sumber manusia masa depan dalam memberi keutamaan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Bukankah lebih praktikal untuk menumpukan perhatian pada subjek teknologi sains, seperti pengekodan misalnya, untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan dalam dunia yang dipacu teknologi," soalnya.

Selain itu, beliau juga meragui kerelevanan pembelajaran Jawi dalam membantu membentuk kerjaya masa depan generasi muda.
Next Post Previous Post