Operasi SAR Adami ditamatkan, tiada petunjuk
KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak 21 Mei lalu dalam satu kejadian serangan buaya di Kampung Nyabut, Telaga Air, dihentikan sepenuhnya hari ini.
Ketua Balai Bomba Petra Jaya, Latif Iring, dalam satu kenyataan berkata, operasi SAR yang dimulakan sejak 21 Mei tersebut dihentikan pada jam 4 petang tadi berikutan tiada sebarang petunjuk positif ditemui.
Katanya, operasi tersebut juga ditamatkan atas arahan Ketua Polis Batu Kawa dan akan diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Samarahan Crocodile Hunters (SCH),” katanya.
Mangsa, Mohammad Adami Moktar, 7, sebelum ini dilaporkan dibaham buaya di Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air sekitar jam 8.30 pagi, pada Sabtu.
Mangsa ketika kejadian sedang bersama ahli keluarganya duduk di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba disambar buaya dan terus hilang di dalam air setelah kejadian tersebut.
Susulan laporan, operasi SAR mangsa telah dimulakan pada Sabtu dengan bantuan pelbagai anggota daripada agensi dan jabatan kerajaan.
Sementara pada 23 Mei, operasi memasang 17 jerat di sekitar kawasan sungai trombol dilakukan sekitar jam 11.55 tengah hari dan turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang serta anggota polis.
Dalam pada itu, pada 25 Mei, seekor buaya gergasi berukuran 4.3 meter telah terperangkap dalam salah satu perangkap dan reptilia itu kemudiannya dibawa ke tebing sungai kira-kira jam 7 malam.
Sehubungan itu, pasukan SAR bersama agensi berkaitan telah membuat keputusan untuk membelah perut buaya itu pada keesokkan hari (26 Mei).
Menurut laporan sebelum ini, buaya terbabit telah dibawa ke jambatan Nombor Tiga Sungai Nyabut untuk proses pemedahan sekitar jam 9.15 pagi.
Bagaimanapun, selepas dibelah, tiada sebarang anggota badan manusia ditemui di dalam perut reptilia berkenaan.