Ngabang, rumah terbuka dibenarkan sempena Gawai ini
Gambar arkib sekadar hiasan |
KUCHING—Aktiviti 'ngabang' atau ziarah dan rumah terbuka antara aktiviti yang dibenarkan sempena sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini.
Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, aktiviti pra Gawai, ziarah dan rumah terbuka atau Majlis Hari Gawai (secara tertutup atau terbuka) dibenarkan yang mana orang ramai digalakkan memakai pelitup muka ketika tidak menjamu selera.
"Individu positif COVID-19 dilarang untuk menyertai aktiviti ini manakala mereka yang bergejala dan tidak lengkap vaksinasi tidak digalakkan untuk menyertainya," katanya ketika mengumumkan Protokol Sambutan Hari Gawai 2022.
Bagi aktiviti sembahyang di rumah ibadah pula, UNIFOR berkata, ia juga dibenarkan di rumah-rumah Ibadat tanpa had kapasiti. dengan syarat memakai pelitup muka.
Bagaimanapun individu positif COVID - 19 dilarang untuk menyertai dan individu bergejala tidak digalakkan untuk menyertainya.
Untuk jamuan selepas sembahyang pula juga dibenarkan dan individu bergejala tidak digalakkan menyertai jamuan itu.
Selain itu, UNIFOR juga menasihatkan orang ramai mengelakkan 3S dan mengamalkan 3W.
Dalam pada itu, pihaknya memaklumkan individu kes positif tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat atau rumah terbuka manakala individu bergejala tidak digalakkan untuk menyertainya.
Tegasnya, ini bagi kawalan penularan dan jangkitan COVID-19.