Menteri kesal pembinaan Masjid Betong lambat
Datuk Gerald Rentap Jabu bersama masyarakat setempat semasa Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri 2022 Kampung Melayu Betong malam tadi. |
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu menyeru kerajaan Negeri dan pihak berkaitan untuk lebih cekap dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
"Saya mohon untuk pihak berkaitan mempercepatkan pembinaan masjid baharu dengan melihat keperluan masyarakat Islam di sini.
"Walau bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan ura-ura untuk mengecilkan kapisiti muatan daripada 1,500 kepada 800 jemaah dalam satu-satu masa.
"Kita sedar keperluan masyarakat Islam di Betong yang semakin hari semakin bertambah dan memerlukan ruang Solat yang lebih selesa dan kemudahan yang lengkap," katanya.
ADUN Layar itu menegaskan demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri 2022 Kampung Melayu Betong yang berlangsung diperkarangan Masjid Jamek Betong dekat sini malam tadi.
Tambahnya, tapak pembinaan tersebut juga telah diurus dan disempurnakan sejak Jun 2019 lagi namun masih belum dilaksanakan.
"Saya harap pihak Lembaga Amanah Melayu Betong dan Majlis Islam Sarawak akan terus memainkan peranan dalam urusan penyegeraan pembinaannya nanti.
"Dalam pada itu saya akan terus berkerjasama untuk membantu demi pembangunan kita di Betong amnya, untuk masyarakat Islam khasnya," ujarnya.
Masjid yang pada awalnya dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2022 itu terpaksa dilewatkan pembinaannya ekoran Pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Dalam masa yang sama, masyarakat Islam di sini terus menagih untuk pembinaan sebuah lagi mercu tanda pembangunan bagi bahagian Betong itu dipercepatkan.