Maybank naikkan kadar pinjaman, pembiayaan mulai 13 Mei

Kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 13 Mei 2022.

KUALA LUMPUR— Maybank akan melaras naik Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 13 Mei 2022, berikutan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata BR Maybank akan lebih tinggi daripada 1.75 peratus kepada 2.00 peratus manakala BLR akan dilaras daripada 5.40 peratus kepada 5.65 peratus.

“Begitu juga, kadar asas Islam dan kadar pembiayaan asas akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 1.75 peratus kepada 2.00 peratus dan daripada 5.40 peratus kepada 5.65 peratus masing-masing,” katanya.

Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 13 Mei 2022.

Semakan terakhir dalam BR Maybank adalah pada 9 Julai 2020 apabila ia dikurangkan daripada 2.00 peratus kepada 1.75 peratus berikutan penurunan OPR dengan kuantum yang sama.

Bank Negara Malaysia hari ini meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ketiganya tahun ini.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post