Malaysia berjaya tanam 33 juta pokok
KANGAR—Malaysia kini berjaya menanam 33 juta pokok sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 5 Jun 2021, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata 33 juta pokok itu merangkumi lebih 1,000 spesies pokok di seluruh negara.
"Perlis juga tidak ketinggalan apabila sehingga kini telah berjaya menanam 120,399 pokok iaitu bersamaan 60.20 peratus daripada sasaran 2022," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijau bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) sempena Kampen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis di sini hari ini.
Berangkat ke majlis tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) Datuk Rosli Isa dan Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Indera Mohd Ridza Awang.
Takiyuddin berkata sehingga kini Malaysia masih mengekalkan 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara dengan kawasan berhutan selaras dengan komitmen negeri di peringkat antarabangsa.
"Suka saya maklumkan KetSA telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan pertama pada 3 Mac 2022," katanya dan menambah bacaan kali kedua dan ketiga dijangka berlangsung semasa persidangan Parlimen Julai ini.
Beliau berkata untuk makluman, perundangan ini mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan dan akhirnya dibawa ke Parlimen.
"Antara penambahbaikan utama adalah memperketatkan prosedur pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK) dengan memperkenalkan penyiasatan awam dan penggantian serentak bagi HSK yang dibawa keluar," katanya.
Takiyuddin berkata usaha ini merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan 50 peratus daripada kawasan negara sebagai kawasan berhutan.
"Saya berharap dengan lulusnya RUU ini nanti perundangan perhutanan negara akan lebih mantap," katanya.
-- BERNAMA