Lelaki maut tertimbus rumah usang runtuh akibat pokok tumbang
Mayat berjaya ditemukan serta dikeluarkan daripada runtuhan rumah usang hari ini. Gambar Bomba |
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.52 pagi tadi.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi.
"Kejadian melibatkan sebuah rumah kuarters lama yang usang serta kosong telah dihempap oleh sebatang pokok Ara yang telah tumbang terus meranapkan rumah jenis kuarters satu tingkat.
"Terdapat satu mangsa dalam runtuhan kuarters tersebut. Pihak Bomba bersama pihak Polis turut dibantu oleh pihak Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) berada di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat diserahkan kepada pihak polis. Gambar Bomba |
Tambahnya kejadian dikatakan berlaku pada hari Sabtu 30 April 2022.
Jelasnya lagi pihak polis memohon bantuan daripada pihak Bomba untuk mengeluarkan mangsa.
"Tindakan operasi kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa memandangkan pokok kayu tersebut mempunyai saiz besar serta meliputi keseluruhan runtuhan tersebut.
"Bantuan dua unit jentera berat dari pihak CMS turut ada di lokasi bagi membantu mengalihkan pokok tersebut.
"Ketua Operasi lapor mangsa berjaya dijumpai serta dikeluarkan daripada runtuhan dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.
"Operasi seterusnya tamat serta merta sebaik mangsa diserahkan kepada pihak polis," ujarnya.
Bantuan dua unit jentera berat dari pihak CMS turut ada di lokasi bagi membantu mengalihkan pokok tersebut. Gambar Bomba |
Dedah Bomba mangsa yang maut di kenali Rone Medin yang berusia 54 tahun.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis mengesahkan pihaknya menerima laporan.
“Siasatan awal mangsa bekerja sebagai buruh pembersihan tempat tersebut. Namun kita masih belum mendapat pengesahan daripada kontraktor pembersihan,” katanya.