Lelaki Indonesia berusia 73 tahun antara 22 ditangkap masuki Malaysia secara haram
ATM menahan 22 PATI dan menahan tiga tekong darat dalam dua serbuan berasingan di Lundu. Gambar kredit Angkatan Tentera Malaysia |
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan media berkata, tangkapan dan serbuan pertama sekitar jam 1.30 petang semasa anggota yang membuat rondaan telah mengesan dua kenderaan dari arah Malaysia menuju ke sempadan Indonesia yang dinaiki oleh dua lelaki dan seorang wanita melalui jalan ladang kelapa sawit, Tetangga Akrab sekitar 7 kilometer dari arah sempadan.
"Pada jam 3.30 petang, serbuan telah dilakukan ke atas kenderaan tersebut yang dikesan berpatah balik dari Indonesia ke Malaysia.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dan seorang wanita tersebut yang bertindak sebagai tekong cuba menyeludup masuk 13 lagi PATI dari Indonesia ke negara ini yang terdiri daripada 11 lelaki dan 2 wanita berusia 17 hingga 73 tahun menerusi laluan yang tidak sah," jelasnya.
Tambahnya, selain tangkapan, rampasan juga dilakukan melibatkan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 73,643 iaitu dua kenderaan, wang tunai serta 11 buah telefon bimbit.
"Kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut," katanya.
Manakala tangkapan dan serbuan kedua pula sekitar jam 10.30 malam, yang mana anggota petugas telah mengesan sembilan individu mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau sekitar 150 meter dari sempadan.
"Kesemua mereka ditahan dan hasil pemeriksaan awal mendapati mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 16 hingga 48 tahun iaitu merupakan PATI warga Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.
"Hasil Pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang yang dijumpai kecuali pakaian dan barangan peribadi yang disimpan di dalam beg bersama," ujarnya.
Berikutan itu, katanya laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua PATI telah dibuat pengusiran di Pos Semunying pada jam 12.30 tengah malam tadi.
Sehubungan itu, tegasnya, Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.