Lelaki hilang semasa kencing rupa-rupanya dah ‘travelling’

Operasi SAR lelaki hilang semasa kencing ditamatkan selepas sejam dimulakan. Gambar kredit Bomba

SARIKEI —Ketika pihak bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki hilang semasa kencing di Rumah Entagau, Sungai Sepadan, mangsa rupa-rupanya sudah ke Bintulu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei PBK1 Hasman Bakar berkata, sejurus menerima laporan pasukan bomba bergegas ke lokasi sekitar jam 8.30 pagi untuk melancarkan operasi SAR.

Beliau berkata, setiba pasukan SAR di lokasi mangsa dipercayai hilang mereka dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa mangsa telah berjaya dihubungi oleh isteri mangsa.

“Penemuan itu disahkan oleh isteri mangsa yang berjaya menghubungi mangsa melalui aplikasi Mesengger Facebook. Pengesahan mangsa juga diakui oleh adik mangsa sendiri apabila beliau berjaya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon.

“Mangsa memaklumkan kepada isteri dan adik beliau yang dia pada masa ini berada di Bintulu dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, isteri mangsa membuat laporan di balai polis untuk membantu mencari suaminya yang hilang.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi Khamis, lelaki itu dikatakan pergi ke tandas yang terletak di belakang rumah panjang.

Namun selepas setengah jam, lelaki tersebut tidak balik ke bilik mereka.

Bimbang dengan keselamatan mangsa, isteri serta ahli keluarga yang lain dengan pertolongan penduduk berusaha mencari mangsa di sekiitar rumah panjang namun usaha itu menemui kegagalan.

Sementara itu, Hasman menambah setelah memastikan mangsa tidak hilang seperti yang dilaporkan, pasukan SAR telah membatalkan operasi pencarian pada jam 9.30 pagi.
Next Post Previous Post