Lawatan kerja empat hari ke AS satu kejayaan, PM
Ismail Sabri (dua kanan) bersama Presiden Amerika Syarikat Joe Biden (tengah) bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain berdiri dihadapan White House, Washington DC. Gambar kredit Fb Ismail Sabri Yaakob |
Beliau berkata lawatannya itu mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS, dan juga ASEAN-AS.
“Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada segi politik dan perdagangan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada hari terakhir lawatannya, yang bermula Selasa (Rabu di Malaysia).
AS adalah rakan dagang kedua terbesar, dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia,” tambahnya.
Beliau berkata mesyuarat beliau dengan pemimpin-pemimpin AS serta peneraju industri negara itu telah meningkatkan lagi hubungan berkenaan.
Ismail Sabri berkata perjumpaan dengan para pelabur serta peneraju industri Amerika memperlihatkan bahawa terdapat potensi pelaburan yang besar bagi Malaysia pada masa akan datang.
“Ramai yang berminat. Ada yang berjanji hendak tambah pelaburan dan ada yang hendak membuat pelaburan baharu,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, perdana menteri menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini dan menemui Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris serta lain-lain pemimpin negara-negara ASEAN.
Presiden Biden turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pemimpin negara-negara ASEAN itu di White House, Khamis.
Ismail Sabri turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada hari Rabu (Khamis di Malaysia).
Ismail Sabri berkata beliau bercakap dalam bahasa Inggeris semasa mengadakan perjumpaan dengan pelabur dan ahli perniagaan Amerika.
“Saya bercakap dalam bahasa kebangsaan dalam tiga sesi sidang kemuncak khas hari ini.
“Enam pemimpin negara-negara ASEAN bercakap dalam bahasa kebangsaan masing-masing pada sidang kemuncak khas itu kecuali Brunei, Filipina dan Singapura. Singapura bahasa kebangsaannya adalah bahasa Inggeris,” kata Ismail Sabri.
Enam pemimpin ASEAN yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing adalah daripada Indonesia, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
Myanmar yang berada dalam pentadbiran junta tentera tidak mendapat jemputan ke Sidang Kemuncak.
Ismail Sabri kemudian berlepas pulang ke tanah air, menamatkan lawatan kerjanya di AS.
-- BERNAMA