Kerabat Diraja Britain lawat Pameran Tenun Pahang Diraja
Menurut hantaran terkini di laman sosial rasmi Istana Negara, The Princess Royal berkenan melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung kalinya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, sempena Minggu Kraf London dari 9 hingga 15 Mei.
Tunku Azizah memberi penerangan kepada The Princess Royal mengenai pameran seni kraf tenunan hasil tangan bekas banduan penjara. Gambar kredit Istana Negara |
Tunku Azizah, yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, turut berkenan memberi penerangan kepada The Princess Royal mengenai pameran seni kraf tenunan yang menampilkan tenunan hasil kerja tangan penghuni di Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang termasuk busana pilihan pakaian Raja Permaisuri Agong sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.
Pameran yang bertemakan "Menyulam Harapan" (Weaving Hope) turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.
Pameran Tenun Diraja Pahang itu adalah satu daripada dua negara terpilih iaitu Malaysia dan Norway untuk menjayakan Pavilion Negara, yang ditampilkan bagi mengukuhkan festival kraf yang menjadi platform berkongsi perspektif global, dan menyerlahkan perhatian terhadap London sebagai hab antarabangsa untuk mempertemukan pembuat dan kreativiti cemerlang dari seluruh dunia.
Gambar kredit Istana Negara |
Terdahulu, Tunku Azizah turut berkenan menerima kunjungan hormat dan menyantuni The Duchess of Gloucester Britain untuk melawat pameran yang mendapat perhatian rakyat Britain serta orang kenamaan.
Dalam lawatan ke pameran itu, The Princess Royal Britain dan The Duchess of Gloucester masing-masing turut berkenan meluangkan masa menyaksikan demonstrasi penghasilan kain tenun oleh penenun Tenun Pahang Diraja.
-- BERNAMA