Kenaikan OPR tidak jejas pasaran perumahan Malaysia

Kenaikan OPR pada 2.0 peratus menggambarkan pemulihan ekonomi. Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus baru-baru ini, dijangka tidak akan memberi kesan negatif ke atas pasaran perumahan pada 2022 dan 2023.

Pengasas Bersama/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata ini berikutan BNM telah mengambil langkah berhati-hati dalam usaha menyokong ekonomi negara biarpun ketika tempoh sukar akibat pandemik COVID-19.

“Inflasi sedang melonjak di sebahagian besar dunia, tetapi tidak di Malaysia dengan inflasi keseluruhannya dijangkakan dalam lingkungan 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada tahun ini.

“Kadar itu misalnya masih boleh diurus dan terdapat ruang bagi pertumbuhan aktiviti perniagaan dan pekerjaan secara ketara tanpa mendatangkan sebarang lonjakan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kashif berkata ketika negara-negara lain mengalami inflasi tinggi akibat lonjakan harga komoditi global, Malaysia sebaliknya tidak terjejas kerana usaha kerajaan menyediakan subsidi bahan api.

Menurutnya, sewaktu krisis kewangan global pada 2004-2020, OPR Malaysia hanya susut serendah 2.0 peratus selama lapan suku tahunan.

Justeru, katanya, tempoh dua tahun sebelum ini adalah pertama dalam sejarah yang menyaksikan kadar tersebut di paras rendah 1.75 peratus.

Menurutnya, berbanding risiko untuk pasaran perumahan, kenaikan OPR pada 2.0 peratus itu sebaliknya menggambarkan pemulihan ekonomi dan pandangan BNM bahawa ekonomi negara tidak lagi memerlukan sokongan tambahan dalam bentuk kadar faedah rendah.

“Kami percaya pasaran perumahan ini akan memberi reaksi secara positif bagi tahun ini dan 2023 susulan pertumbuhan ekonomi, pendapatan isi rumah dan pekerjaan.

“Malah, pihak bank mengunjurkan permintaan domestik lebih kukuh dan eksport lebih tinggi berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka mencecah sehingga 6.3 peratus tahun ini.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan keadaan ekonomi yang positif ini akan terus memacu pasaran hartanah yang diunjur lebih ketara pada separuh kedua tahun ini serta 2023,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post