Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 kembali dianjurkan, Sri Aman dipilih tuan rumah
Rahman dan Elvis bersama Exco SABA dan AJK kejohanan lain semasa mesyuarat. |
SRI AMAN: Bahagian ini dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka Tahun 2022 setelah hampir dua tahun arena sukan tinju menyepi akibat pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo dalam sidang media selepas mesyuarat bersama AJK kejohanan di Sri Aman pada Khamis berkata, sukan tinju di Sarawak kembali menggegar dengan penganjuran kejohanan tersebut.
Jelasnya, temasya berprestij itu akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman dari 1 hingga 7 Ogos 2022.
"Kejohanan ini akan menyaksikan penglibatan petinju-petinju ternama dari Sarawak, Semenanjung, Brunei Darussalam dan Kalimantan.
“Alhamdullillah, setelah hampir dua tahun tanpa sebarang aktiviti, arena tinju kita kembali aktif pada tahun ini di mana SABA akan menganjurkan Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka Tahun 2022," katanya.
Rahman memberitahu, kali terakhir SABA menganjurkan kejohanan berprestij adalah Golden Glove pada 2018 di Sibu dan ia mendapat sambutan begitu menggalakkan.
“Saya percaya kejohanan ini juga pasti mendapat sambutan menggalakkkan kerana peminat tidak sabar untuk kembali beraksi dalam gelanggang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejohanan ini akan menjadi medan pendedahan terbaik kepada petinju-petinju Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dalam persiapan menghadapi temasya dwitahunan yang dijadual berlangsung pada September nanti.
"Ini akan menjadi kayu pengukur keupayaan petinju Sarawak pada temasya SUKMA kelak," ujarnya.
Tambahnya lagi, kejohanan ini akan merancakkan semula sektor pelancongan sukan Sarawak yang terjejas teruk sebelum ini akibat penularan wabak COVID-19.
Tegasnya, penganjuran kejohanan ini antara inisiatif SABA dalam membantu merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini.
Ini kerana katanya, ramai petinju dari luar Sarawak akan datang berkampung selama seminggu di sini.
Selain itu, ia juga pastinya memberi pulangan ekonomi kepada industri perhotelan, pengangkutan dan makanan, tambahnya.
Menurut beliau, kejohanan tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Pejabat Residen Sri Aman dan beberapa agensi lain.
Selain itu, beliau memberitahu, Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit dilantik sebagai Penaung Kejohanan.