Kanak-kanak perempuan maut dilanggar bas sekolah

Gambar hiasan

PUTRAJAYA—Seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun empat bulan maut selepas dilanggar sebuah bas sekolah di hadapan rumahnya di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang hari ini.


Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa dipercayai dilanggar ketika mengekori kakaknya yang keluar dari rumah untuk menaiki bas itu dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari tadi.


“Kakak mangsa tidak menyedari yang adiknya itu mengekorinya yang ingin menaiki bas... apabila bas bergerak mangsa didapati berada di bawah bas berkenaan.


Mangsa telah dibawa keluar dari bawah bas oleh kakaknya dan telah mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian di badan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.


Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Salak di Sepang dan disahkan meninggal dunia. 


“Mangsa telah di hantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post