Kanak-kanak dilaporkan hilang di rumah rakit ditemukan lemas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa lemas. Gambar kredit JBPM Pahang

KUANTAN—Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang semasa berada di majlis hari raya anjuran keluarganya di rumah rakit di Bukit Rangin di sini, pada Jumaat malam ditemukan lemas hari ini.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Siti Nur Athhiyya Soffea Mohamad Sukri, 3, ditemukan timbul lengkap berpakaian kira-kira 1.5 kilometer dari rumah rakit berkenaan. 


“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa meliputi tiga kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat mangsa ditemukan 11.35 pagi tadi oleh pasukan bomba. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang memakai baju kurung berwarna merah dilaporkan kali terakhir dilihat bapanya pada 11.15 malam pada hari kejadian.


Sejurus itu, SAR diaktifkan dengan mengambil kira kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh dari dua rumah rakit kepunyaan bapanya, yang mempunyai jambatan kayu di bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-dua rumah tersebut. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post