Kampung Mission Baru Lawas bakal lenyap susulan hakisan tanah
Penduduk merayu agar agensi berkaitan membantu menyelamatkan Kampung Mission Baru Lawas yang diancam hakisan tanah. Gambar kredit Rining Peter |
LAWAS— Kampung Mission Baru Lawas dekat sini bakal ‘lenyap’ berikutan keadaan hakisan tanah yang semakin menghampiri kediaman penduduk.
Kebimbangan itu semakin menebal susulan hujan lebat yang berlaku baru-baru ini.
Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak lena tidur bimbang kediaman hanyut dibawa arus terutama ketika malam hari.
Malah beberapa bahagian kampung termasuk rumah penduduk dan gereja semakin menghampiri kawasan tebing sungai.
Seorang pengguna laman sosial Rining Peter memberitahu penduduk kampung merayu tindakan agensi berkaitan untuk membantu menyelesaikan situasi yang mengancam keselamatan mereka.
“ Sangat berbahaya untuk kanak-kanak,” kongsinya dalam laman sosial Facebook.
Beberapa dekad dulu penduduk kampung itu pernah kehilangan beberapa ekar tanah, gereja, rumah dan padang bola yang ditelan sungai akibat masalah hakisan tanah tersebut.
Mimpi ngeri itu boleh berulang jika tiada tindakan segera dilakukan.
Sebelum ini Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga ADUN Bukit Sari dipetik sebagai berkata terdapat usaha membina tembok penahan di Kampung Baru Mission tetapi kedua-dua projek itu gagal.
“Dua projek tembok penahan tersebut gagal kerana arus deras membawa kepada hakisan serius.
Beberapa bulan lalu, semasa Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) mengadakan taklimat di Lawas, saya meminta mereka meneliti langkah yang sesuai bagi mengurangkan hakisan bertambah teruk,” katanya.
Awang Tengah berkata, beliau juga meletakkan sebagai keutamaan projek pembesaran kampung untuk Kampung Mission Baru di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Tapak itu yang dikenal pasti lebih jauh dari jalan, tetapi dalam lokaliti yang sama," katanya.